SULTAN ULAMA': Izzuddin bin Abdul Salam
Dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 577 Hijriah dan dinamakan Abdul
Aziz bin Abdul Salam al-Sulaimi al-Dimasyqi al-Misri al-Syafi'e. Beliau
dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam.
Meninggal dunia di Mesir pada tahun 66o Hijriah.
Seorang tokoh
ilmuan yang hebat dalam sejarah Islam. Ulama' mazhab Syafi'e yang
masyhur dengan ilmu "Maqasid Al-Syar'iah" / objektif syara'. Karya-karya
beliau berjumlah lebih daripada 30 buah, antara yang termasyhurnya
ialah "Qawa'id al-Ahkam fi Masolih al-Anam".
Beliau terkenal
dengan gelaran Sultan Ulama` dan Penjual Raja-Raja. Beliau mendapat
gelaran tersebut kerana beberapa sebab, antaranya adalah kerana
keberaniannya berdepan dengan pemerintah Syam yang bersekongkol dengan
tentera Salibiyyah Rom untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Mesir
sehingga digelar Sultan Ulama`.
Pada tahun 638 Hijriah,
berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintahan Damsyik, al-Saleh
Ismail dan pemerintahan Mesir, Najmuddin Ayyub (bapa Sallahuddin
al-Ayyubi). Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Najmuddin,
beliau telah membuat satu komplot dengan tentera kafir Salibiyyah untuk
membantunya menentang saudaranya seagamanya, Najmuddin dengan
menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Malah beliau
juga membeli senjata bagi pihak Salibiyyah untuk memerangi kaum
muslimin.
Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang
merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus
mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian
menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh
tersebut, yang merupakan suatu penghianatan besar terhadap umat Islam.
Beliau tidak lagi berdoa untuk Sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya
berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali
bai'ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar
Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda telah menghantar
utusan kepada al-Izz dan mengarahkan al-Izz supaya menarik kembali fatwa
beliau serta meminta maaf terhadap al-Saleh dan tentera Salibiyyah.
Sudah tentu al-Izz enggan mematuhi arahan al-Saleh tersebut. Oleh
kerana keengganan al-Izz tersebut, al-Saleh terus mengeluarkan arahan
memecat al-Izz dari jawatan khatib dan Mufti Damsyik serta mengarahkan
supaya al-Izz ditangkap.
Al-Izz menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia bekorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari
Damsyik dan menuju ke al-Quds (Palestin), Al-Saleh bagaimanapun masih
tidak berpuas hati dengan al-Izz dan baginda menghantar seorang wakil
untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar menarik kembali fatwa beliau
yang masih tetap dipatuhi oleh rakyat Syria serta datang mengadap Sultan
dan memohon maaf kepada al-Saleh dan tentera Salibiyyah. Sekiranya
beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan
asalnya. Al-Izz bagaimanapun dengan tegas menjawab: " wahai si miskin!
aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku, bagaimana pula
aku sanggup mencium tangannya."
Utusan itu menjawab: " jika
tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali." Al-Izz
menjawab: "buatlah apa yang kamu suka."
Lalu al-Izz pun
ditangkap kembali dan dikurang di dalam sebuah khemah yang berhampiran
dengan khemah yang didiami oleh Sultan dan ketua tentera Salibiyyah.
Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat
suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu
ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama' yang ditangkap kerana enggan
bekerjasama dengan baginda. "Beliau ditangkap demi kepentingan kamu",
ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya
menjawbnya ; "Kalaulah ulama' ini di dalam agama kami, kami akan basuh
kakinya dan meminum air basuhan tersebut".
Selepas itu
datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh
Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa
ke Mesir.
No comments:
Post a Comment