Satu peristiwa penting yang
berlaku di dalam bulan Ramadhan adalah peristiwa peperangan Ain Jalut.
Peristiwa ini berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 H (3 September 1260) di Ain
Jalut dan Bisan, Palestin. Medan pertempuran tersebut terletak tidak jauh dari
bandar al-Quds.
Dengan kerjasama daripada
panglima beliau iaitu Panglima Baibars,
Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz
mengisytiharkan perang terhadap tentera Mongol dengan membunuh empat orang
utusan perangnya (ada sebahagian ahli sejarah menyatakan empat orang utusan
perang Mongol adalah perisik).
Qutuz atau dieja Kutuz, merupakan pemerintah ketiga daripada
kerajaan Mamalik. Baginda menaiki tahta Mesir 24 Zulkaedah 657 H. Sebelum
beliau menaiki tahta Mesir, Serangan pertama Tatar (617 H), serangan kedua
Tatar (628 H) dan kejatuhan Baghdad (656 H) telah pun berlaku dan meninggalkan
kesan yang amat parah kepada umat Islam di luar Mesir.
Selepas beliau menaiki tahta
Mesir pula, Halab jatuh ke tangan Tatar pada Safar 658 H dan Damsyik jatuh pada
Rabi’ul Awal 658 H menjadikan keadaan di luar Mesir bertambah gawat. Kejatuhan
Palestin keseluruhannya juga berlaku pada masa yang sama. Mesir bersempadan
dengan Palestin di sebelah timur Mesir pada bandar Gaza.
Tiga Langkah Awal
Langkah pertama yang diambil oleh Qutuz adalah mengembalikan
kestabilan keadaan dalaman Mesir.
Langkah kedua yang telah dilakukan oleh Qutuz adalah memberikan
pengampunan kepada semua penyokong Mamalik Bahriah.
Langkah ketiga yang diambil oleh Qutuz adalah mengusahakan
penyatuan semula antara Mesir dan Syam.
Disimpulkan bahawa keadaan dunia
Islam pada awal tahun 658 H adalah:
a. Mesir berjaya mendapatkan
kekuatannya
b. Baghdad, Halab dan Damsyik
jatuh ke tangan Tatar disamping negara-negara lain yang telah jatuh sebelumya
(Daulah al-Khowarizmiah, Daulah Arminiah, Daulah Karjiah)
c. Palestin keseluruhannya jatuh
ke tangan Tatar termasuk Gaza yang terletak hanya 35 kilometer dari sempadan
Mesir
Kejutan Dari Qutuz; Memerangi Tatar Bukan Bertahan di Mesir
Mesir sudah bersedia untuk
menghadapi Tatar. Segala sunnah dan asbab telah diambil oleh Qutuz. Qutuz
berjaya menaikkan semangat rakyat Mesir. Qutuz
berjaya memadamkan perselisihan di antara pembesar Islam. Qutuz berjaya
mendamaikan antara Mamalik Bahriah dan
Mamalik Muizziah. Qutuz berjaya
menyatukan antara Mesir dan Syam, dua wilayah Islam yang kuat. Qutuz berjaya
memperkecilkan Tatar pada pandangan umat Islam. Qutuz berjaya membersihkan jiwa
pembesar dan rakyat. Qutuz berjaya membersihkan wang-wang haram dan melancarkan
jihad dengan menggunakan wang yang halal.
Perjanjian Damai Islam – Salib di Akka
Untuk sampai ke tempat yang
sesuai dijadikan medan perang di Palestin, tentera Islam terpaksa melalui
bandar Akka. Bandar Akka pada ketika itu masih lagi di bawah jajahan tentera
Salib sejak tahun 492 H. Mereka telah berada di Akka selama 166 tahun. Terdapat
generasi tentera Salib di bandar tersebut.
Tentera Salib berada dalam
keadaan yang cukup lemah di Akka. Kelemahan ini hasil dari keletihan peperangan
yang mereka terpaksa hadapi dari tentera Salehudin Ayyubi sebelum ini.
Pembebasan Quds berlaku pada tahun 643 H. Peperangan Mansurah berlaku pada tahun
648 H. Selepas peperangan tersebut, ramai tentera Salib yang dijadikan tawanan
termasuk King Louis IX, Raja Perancis.
Walau pun begitu, untuk
membebaskan Akka dari tentera Salib tidaklah semudah yang disangkakan. Benteng
terkuat tentera Salib adalah di Akka. Banyak cubaan termasuk cubaan oleh
Salehudin al-Ayyubi untuk membebaskan Akka menemui kegagalan sebelum ini. Ini
termasuk kemungkinan akan berlaku sekali lagi persepakatan di antara tentera
Tatar dan tentera Salib yang akan menguatkan kembali Akka.
Wakil Qutuz menawarkan kepada
penduduk Akka keamanan. Mereka juga menawarkan akan menjual kuda-kuda tentera
Tatar dengan harga yang murah kepada penduduk Akka jika mereka berjaya
menjatuhkan Tatar.
Di pihak tentera Salib, mereka
sebenarnya tidak mempunyai pilihan yang lebih baik dari menerima tawaran
tersebut. Menolak tawaran perjanjian damai akan menaikkan kemarahan tentera
Islam dan kemungkinan akan membawa kepada kejatuhan Akka. Dengan itu Akka
dengan segera menerima perjanjian damai sementara itu.
Sya’ban 658 H: Ke Bumi Palestin Untuk Menumbangkan Tatar
Pergerakan tentera Islam bermula
pada bulan Sya’ban 658 H. Ia bersamaan bulan Julai 1260 M. Bulan Julai adalah
musim panas. Merentasi padang pasir di dalam musim panas bukanlah suatu yang
mudah. Ditambah pula mereka akan menghampiri bulan Ramadhan.
Tentera Islam dilatih di Kaherah,
Asyut, Iskandariah dan Dimyat. Daripada kem-kem latihan tersebut mereka
berkumpul di Solehiah yang terletak di Syarqiah, Mesir sekarang ini. Dari situ
mereka bergerak ke sebelah timur dan kemudian naik ke utara menuju ke Arisyh.
Itulah bandar pertama mereka berteduh setelah merentasi padang pasir dari
Solehiah. Dari Arisyh mereka menuju ke Gaza yang berada di bawah penguasaan
Tatar.
Qutuz telah membagikan tenteranya
kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama agak kecil jika dibandingkan dengan
kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini diketuai oleh panglima Islam yang hebat, Ruknuddin Baibras. Kumpulan ini
berjalan terpisah agak jauh dari kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini berjalan
menzahirkan dirinya manakala kumpulan kedua berjalan dengan perlahan dan
menyembunyikan diri
Kemenangan di Gaza
Pada 26 Julai 1260 M, Baibras sudah berjaya melepasi
sempadan Mesir – Palestin. Dia berjaya melepasi Rafah, Khan Yunus dan Dir
Balah. Kini dia berada terlalu hampir dengan bandar Gaza.
Berita kemaraan tentera Baibras sampai kepada tentera Tatar.
Ketika itu tentera utama Tatar di bawah pimpinan Katabgha masih lagi jauh dari
Gaza. Mereka berada di bumi Lubnan, 300 kilometer dari Gaza. Dengan itu mereka
menghantar satu pasukan yang tidak begitu besar untuk menghadapi tentera Islam.
Berlakulah pertembungan di antara
dua pasukan tersebut. Kali pertama setelah puluhan tahun, tentera Islam menang
di dalam pertembungan melawan Tatar. Terbunuh di dalam peperangan tersebut
sebahagian tentera Tatar. Tentera yang terselamat melarikan diri menyampaikan
berita tersebut kepada Katabgha.
Pemilihan Lokasi Peperangan: Ain Jalut
Tentera Islam terus bergerak dari
Gaza melepasi Asqalan dan Yafa. Dari situ mereka singgah sebentar di Akka dan
berjumpa dengan pimpinan tentera Salib di Akka untuk memastikan perjanjian
masih lagi dipatuhi oleh mereka.
Ain Jalut terletak tidak jauh
dari perkhemahan Janin sekarang ini. Ia terletak di antara bandar Bisan dan
Nablus. Ia terletak 65 kilometer dari Hittin, medan peperangan Hittin yang
berlaku pada tahun 583 H. Ia terletak 6o kilometer dari Yarmuk, medan
peperangan Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak
mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.
Ia dipilih kerana ia adalah
kawasan lapang yang luas dan dikelilingi oleh bukit kecuali di bahagian
utaranya. Bukit-bukit tersebut dipenuhi pokok-pokok yang memudahkan tentera
Islam untuk bersembunyi. Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras diletakkan di bahagian utara
sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik pokok.
25 Ramadhan 658 H
Tentera Tatar di bawah pimpinan
Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di sebalik
pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga di
sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika
tentera Tatar tiba.
Qutuz memberikan arahan agar
tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi
satu katibah.
Ketika katibah pertama turun dari
bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan tentera Tatar menjerit
ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian berbelang putih dan merah.
Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik. Mereka turun dalam keadaan
tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.
Kemudian turun pula katibah
kedua. Katibah ini memakai pakaian berwarna kuning dan membawa senjata yang
berhias indah. Mereka juga turun dalam keadaan tersusun, pergerakan yang sama
dan seimbang.
Tentera Mamalik terpecah kepada
banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna tertentu yang membezakannya
dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan warna yang sama. Begitu
dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di Mesir. Semuanya akan
diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.
Semua katibah ini adalah
sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera yang masih
lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz.
Gendang mula dimainkan oleh
pasukan gendang tentera Islam. Sudah menjadi kebiasaan tentera Mamalik, mereka
akan meletakkan satu pasukan gendang di medan perang. Mereka memainkan rentak
yang akan memberikan isyarat tertentu kepada tentera Mamalik.Isyarat tersebut
hanya mampu difahami oleh tentera Mamalik. Setiap pergerakan tentera akan
ditentukan oleh gendang tersebut.
Pasukan Baibras sudah berada
hampir dengan tentera Katabgha. Peperangan sudah semakin hampir.
Serangan Pertama: Bermula Peperangan
Bermulalah pertempuran. Katabgha
yang menyangka bahawa pasukan Baibras yang kecil itu adalah keseluruhan tentera
Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk masuk ke medan
pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat.
Baibras dan tenteranya berdiri
tenang di tempat masing-masing menantikan kemaraan tentera Tatar yang berjumlah
berkali ganda dari bilangan pasukan mereka. Apabila tentera Tatar sudah hampir
kepada mereka, Baibras memberikan isyarat kepada tenteranya untuk merempuh ke
depan.
Pedang bertemu pedang, gendang
dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan dengan takbir dari
petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula mengalir. Satu demi satu
nyawa melayang. Walau pun begitu, Baibras dengan bilangan tentera yang sedikit
mampu bertahan sehingga ke saat itu. Ketakutan mula meresap masuk ke dalam diri
tentera Tatar. Belum pernah mereka menghadapi kekuatan sedemikian.
Pemilihan Qutuz sememangnya
tepat. Panglima-panglima perang yang dipilih untuk bertembung di peringkat awal
dengan Tatar dan menghabiskan tenaga Tatar adalah panglima perang Mamalik
terbaik. Mereka adalah panglima yang terlibat sekali di dalam mengukir kemenangan
di dalam peperangan Mansurah menentang tentera Salib pimpinan Louis IX. Mereka
memiliki kemahiran perang yang tinggi.
Qutuz dan baki tentera masih lagi
menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan peperangan tersebut
dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.
Serangan Kedua: Mengepung Tentera Tatar
Masanya sudah tiba untuk Qutuz
memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras dan tenteranya
berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini adalah taktik yang
sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand ketika tentera
Islam di zaman Saidina Omar r.a. membuka Parsi. Taktik ini digunakan untuk
menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah medan
peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang kita ketahui medan
Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya kecuali di bahagian utara. Kepungan
itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya menarik tentera
Tatar ke tengah medan.
Ia bukanlah taktik yang mudah. Ia
memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan menyebabkan musuh
menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan kematian tentera
Islam.
Qutuz memberikan arahan kepada
pasukan gendang untuk memberikan arahan baru ini. Baibras memahami rentak
gendang tersebut. Tanpa berlengah dia dan tenteranya mula berundur ke belakang
sedkiit demi sedikit dengan penuh hati-hati. Mereka berpura-pura menzahirkan
keletihan dan kelemahan mereka.
Katabgha tertipu. Dia mengarahkan
seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang tanpa menyedari taktik
tersebut. Ini adalah satu yang cukup pelik berlaku kepada beliau. Katabgha
adalah panglima perang Tatar yang mahir. Menjadi panglima perang sejak zaman
Genghis Khan. Ketika peperangan Ain Jalut, beliau berusia lebih 60 tahun atau
mungkin lebih 70 tahun. Satu usia yang memberikan pengalaman yang tidak sedikit
berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu. Tetapi Allah mengatur
segala-galanya.
Taktik ini berjaya. Tentera Tatar
telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera Islam muncul, Katabgha
menyedari kesilapannya. Di sini tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali terus
berperang mati-matian. Mereka nampak kematian semakin menghampiri mereka.
Serangan Ketiga: Kekuatan Bahagian Kanan Tatar
Katabgha memberikan arahan agar
semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka seolah-olah mengamuk dan mengasak
tentera Islam. Di sini terbukti kebenaran apa yang dikatakan oleh wakil
Sorimuddin Aibak berkenaan kekuatan bahagian kanan tentera Tatar. Bahagian kiri
tentera Islam telah diasak dengan dahsyat oleh mereka. Gugur di kalangan
tentera Islam seorang demi seorang sebagai syahid.
Qutuz yang melihat dari atas
bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam. Langkah yang diambil
oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi besinya lalu melaungkan
‘wa Islaaamah’. Laungan ini diucapkan oleh beliau sambil beliau turun ke medan
perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk
menaikkan semangat tentera Islam.
Tentera Tatar terperanjat dengan
kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan
penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya. Beberapa
libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau. Kudanya berjaya ditikam mati
oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh. Pun begitu beliau meneruskan
jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau berjaya mendapatkan kuda
bantuan.
Seorang pembesar istana menjerit
dan mencelanya kerana lambat menaiki kuda. Beliau bimbangkan Qutuz terbunuh
lalu dengan itu akan kalahlah tentera Islam. Tetapi Qutuz menjawab: “Ada pun
diriku, sesungguhnya ia sedang menuju surga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan
yang tidak akan membiarkannya.”
Tentera Islam bertambah semangat
dengan turunnya Qutuz ke medan perang.
Kematian Katabgha
Dibunuh oleh Jamaludin Aqusy
as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik. Pernah berada di
bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya setelah melihat
pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al-Ayyubi.
Beliau merempuh tentera Tatar
sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera tersebut. Di situ beliau
melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau mengumpulkan seluruh
tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha. Kepala Katabgha
berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di hadapan tentera
Tatar.
Ketakutan makin meningkat melihat
kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Tatar mula melarikan diri
melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar mereka.
Pertembungan Akhir di Bisan dan Berakhirnya Kekuatan Tatar
Tentera Tatar berjaya memecahkan
kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri sejauh 20 kilometer dan berhenti
di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka.
Berlaku pertembungan yang lebih
sengit. Kali ini tentera Tatar benar-benar menggila untuk memastikan mereka
terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan peperangan memberikan semangat
kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa Islaamah. Wa Islaamah. Wa
Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Tatar.”
Akhirnya kemenangan berpihak
kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos bahawa Tatar tidak akan
dikalahkan bila-bila.
Medan peperangan kembali sunyi.
Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan Tatar. Tidak ada lagi
takbir para petani. Tidak ada lagi bunyi libasan pedang. Mayat-mayat tentera
Tatar mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan. Qutuz berjalan di
tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan selama sehari di
bulan Ramadhan.
Kesudahan Yang Baik Buat Raja Yang Hebat
Qutuz sujud ke bumi mensyukuri
kemenangan tersebut. Beliau dan tenteranya berjaya membunuh kesemua tentera
Tatar. Ya! Kesemuanya. Tidak ada seorang pun dari tentera Tatar yang berjaya
melepaskan diri mereka hidup-hidup. Semuanya mati dibunuh oleh tentera Islam di
dalam peperangan yang cukup hebat ini.
Maruah umat Islam berjaya
dikembalikan. Kematian jutaan umat Islam berjaya dibalas oleh Qutuz.
Sememangnya beliau seorang pemimpin hebat yang berjaya mencipta satu sejarah
untuk dibanggakan oleh umat Islam sepanjang zaman. 10 bulan sudah cukup bagi
Qutuz untuk menjatuhkan Tatar yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih
40 tahun.
Semua itu berlaku pada hari ini,
25 Ramadhan.
No comments:
Post a Comment