Tuesday 6 November 2012

Syeikh Ali Bin Tahir Al-Sulami Pencetus Semangat Jihad Pembebasan al-Quds

Menurut ahli geografi Arab terkenal Ibn Hawqal, menjelang kejatuan al-Quds pada tahun 1099M, semangat jihad di kalangan umat Islam telah luntur. Kata-kata beliau disokong oleh al-Muqaddasi yang menyatakan bahawa penduduk Syam (Historical Syria) telah kurang bersemangat untuk berjihad mempertahankan kesucian bumi al-Quds daripada serangan musuh. Menurut beliau, semangat itu telah dikuburkan sepenuhnya pada tahun 1099M ketika al-Quds jatuh ke tangan tentera Salib. Moral tentera Salib ketika itu adalah lebih tinggi berbanding tentera Islam.

Sudah menjadi sunnatullah, akan sentiasa ada di kalangan umat Islam itu kumpulan yang membuat reformasi kebaikan di kalangan masyarakat. Kelemahan utama umat Islam ketika itu, iaitu culas berjihad, telah dilihat oleh Syeikh Ali bin Tahir al-Sulami sebagai faktor utama kejatuhan empayar Islam di sekitar Sham. Lantas, pada tahun 1105M, Syeikh al-Sulami telah mengarang Kitab al-Jihad.

Kitab itu dilihat oleh ramai pengkaji sebagai stimulus terhadap gerakan jihad membebaskan al-Aqsa daripada cengkaman kezaliman tentera Salibiyyah. Di dlam kitab tersebut, Syeikh al-Sulami telah memberikan teguran keras kepada pemimpin umat Islam (khalifah) supaya bersegera melancarkan jihad. Beliau telah meramalkan bahaya ancaman tentera Salibiyyah sekiranya kemaraan mereka ke tanah umat Islam yang lain tidak disekat. Apatah lagi sejurus selepas mereka memerintah al-Quds, keadilan yang sebelum itu dinikmati semasa pemerintahan empayar Islam (kecuali di penghujung kejatuhannya) telah semakin hilang.

Syeikh al-Sulami yang berpusat di Damascus, telah mendatangkan beberapa pendapat daripada mujtahid muktabar, seperti Imam al-Shafi’e dan imam al-Ghazali. Beliau percaya musibah yang menimpa empayar Islam ketika itu adalah akibat dosa berlarutan yang merela lakukan, lantas menyeru supaya jihad ke atas tentera Salibiyyah dimulakan dengan mujahadatunnafsi.

Alhamdulillah, hasil semaian Syeikh Ali bin Tahir al-Sulami itu, lahirnya pemimpin-pemimpin Islam terkemudian yang memimpin bahtera perjuangan jihad. Sebagai ulamak, seruan beliau telah didengar oleh golongan umara’ yang soleh. Hasil semaian beliau, berputiklah insan-insan seperti Imaduddin Zinki dan Nuruddin Zinki. Dan buah hasil semaian itu akhirnya telah diperolehi di zaman Salahuddin al-Ayyubi, ketika beliau berjaya membebaskan al-Aqsa pada tahun 1187M.

Moga akan lahir lebih ramai pejuang-pejuang pembebasan al-Aqsa pada zaman sekarang ini yang mempunyai biasan peribadi unggul Syeikh Ali bin Tahir al-Sulami.

No comments:

Post a Comment