Tuesday 6 November 2012

Perang Salib Kedua Dan Pembebasan Baitul-Maqdis



Mohd Roslan Mohd Nor, Nor Shakila Mohd Noor
(Jurnal Al-Tamaddun Bil. 7(1) 2012, 61-74)





Kemunculan Perang Salib Kedua (1145-1149) adalah merupakan rentetan daripada Perang Salib Pertama di mana kejatuhan Edessa atau al-Ruha kepada kaum Muslim cukup memberikan suatu impak yang sangat besar terhadap pasukan Salib. Hal tersebut kerana Edessa merupakan negeri Salib yang pernah dibina pasukan Salib dalam siri Perang Salib Pertama, namun bertindak sebagai negeri Salib pertama yang jatuh ke tangan umat Islam.

Maudud bin Tuntakin (Syarafuddaulah Maudud)
Maudud bin Tuntakin, seorang penguasa Mosul (1109-1113) bertindak sebagai tokoh pertama di seluruh dunia Islam yang menyahut seruan jihad. Beliau memimpin pasukannya menuju ke al-Ruha lalu menangkap tawanan Armenia, selaku para pembantu kepada pasukan musuh. Kemenangan yang digapainya dalam misi tersebut telah memberikan umat Islam suatu harapan baru bagi meneruskan misi menawan kembali negara-negara Islam yang telah tergadai sebelum daripada itu di tangan pasukan Salib.

Kesinambungan daripada misi menawan kembali al-Ruha, beberapa kelompok umat Islam telah menghadap Maudud pada tahun 507 H/ 1113M dengan tujuan berjihad fi sabilillah. Keinginan mereka direalisasikan Maudud dengan terbentuknya satu pasukan militer lalu dikerahkan menuju ke al-Quds.

Pihak Kristian yang menyedari kondisi mereka berada dalam keadaan bahaya telah bertindak pantas dengan mengupah seorang anggota Hasyasyiyun (aliran batiniyah) supaya membunuh Maudud sekembalinya ke Damaskus dalam usaha memperkemaskan angkatan tenteranya.

Secara analisisnya, perbuatan membunuh Maudud oleh Hasyasyiyun jelas menggambarkan suatu pengkhianatan yang nyata kerana seorang yang mengaku Muslim begitu sanggup membunuh seorang Mujahid Muslim sendiri demi kepentingan diri semata-mata.

Imaduddin Zanki (al-Zinki)
Perjuangan Maudud membebaskan al-Ruha daripada naungan Salib telah diteruskan oleh Imaduddin Zanki pada tahun 539 H. Berbekalkan semangat jihad yang tinggi, misinya menemui kejayaan. Bahkan, penguasaan ke atas kota ini menjadi titik tolak kepada perebutan kota-kota yang lain. Imaduddin Zanki menanam semangat jihad yang begitu utuh dalam usahanya membebaskan Syam dari cengkaman penjajah Salib di tengah kealpaan pemerintah Islam yang lain.

Justeru, sebagai langkah awal, beliau bertindak menakluki Kota Aleppo (Halab) yang merupakan kota terpenting di utara Syam. Beliau memulakan gerakan penaklukannya pada 1 Muharam 522 H setelah beberapa bulan beliau dilantik menjadi penguasa Mosul. Fenomena ini jelas menunjukkan beliau memiliki langkah yang utuh serta memiliki pandangan yang tajam sebelum melakukan serangan ke atas Syam walaupun beliau sedar bahawa ia bukan suatu perkara yag mudah untuk dilakukan kerana terpaksa melakukan pengepungan selama berbulan-bulan sebelum menguasai kota tersebut.

Tidak terhenti sekadar Aleppo sahaja, Imaduddin terus mengorak langkahnya menuju ke Kota Hamah pada tahun berikutnya (523 H). Kemudian, beliau juga turut membebaskan Kota Sarja, Dara dan Benteng al-Atsarib daripada kekuasaan Salib. Lebih membanggakan, setelah berjuang sekian lama, beliau akhirnya berhasil menakluk sebahagian besar kawasan Syam.

Nuruddin Zanki (al-Zinki)
Nuruddin Zanki,  selaku pemerintah Aleppo yang dilantik menggantikan bapanya telah meneruskan misi bapanya terdahulu iaitu memerangi kaum Salib. Justeru sesuai dengan tugasnya, beliau telah menyerang Antakya yang masih berada di bawah kuasa pasukan Salib. Tindak balasnya itu adalah untuk menggagalkan usaha Juslin II yang cuba menduduki al-Ruha kembali, lantaran kekalahan yang dideritai pasukan Salib di al-Ruha lebih hebat daripada kekalahan yang mereka terima sewaktu cuba menakluki al-Ruha buat pertama kalinya dahulu.

Kematian Imaduddin disangkakan dapat meringankan beban pasukan Salib, malangnya sangkaan mereka meleset sama sekali. Ternyata, semangat dan keberanian Nuruddin menyamai bapanya, sekalipun baru menginjak usia 29 tahun.

Ketabahan mujahidin serta kesatuan barisan pasukan Islam itu sendiri Berjaya mematahkan usaha penaklukan Syam serta pendudukan ke atas Damaskus oleh pasukan Salib pada tahun 542 H/ 1147 M di bawah pimpinan Louis VII dan Conrad III.Sebagai seorang politikus yang handal, Nuruddin begitu bijak mengatur strategi dalam usaha membebaskan Mesir daripada pengaruh dan kekuasaan Ubaidiyyah yang selama ini telah dikuasai mereka hampir 2 abad lamanya. Sebagai seorang yang berpandangan jauh, beliau bertindak menghapuskan Daulah Ubaidiyyah dengan bantuan dua parajurit yang handal iaitu Asaduddin Syirkukh serta anak saudaranya iaitu Salahuddin al-Ayubi.

Secara analisisnya, penghapusan Daulah Ubaidiyyah tersebut bermaksud secara tidak langsungnya akan membawa kepada kelemahan kekuatan pasukan Salib serta kaum Hasyasyiyun di Syam, selain mengembalikan bumi Mesir ke pangkuan akidah Ahl Sunnah wal Jama’ah.

Salahuddin al-Ayubi
Salahuddin al-Ayubi adalah merupakan seorang tokoh yang terus lestari dalam Daulah Ayubiyah di Mesir sehingga 80 tahun kemudiannya. Para sejarawan sepakat mengatakan bahawa setelah Asaduddin Syirkukh meninggal dunia, semua urusan kenegaraan diserahkan kepada beliau. Kewafatan Nuruddin telah memberikan kesempatan kepada Salahuddin bagi meluaskan daerah kekuasaannya sehingga ke Mesir, sebahagian daripada Syam, al-Jazirah, Yaman serta Mosul.

Dengan kata lain, Daulah Ayubiyah telah mencakupi sebuah kawasan yang amat luas di dunia Arab. Jelasnya, Salahuddin telah mewarisi panji-panji jihad sebelum eranya yang telah dikibarkan oleh Syarafuddaulah Maudud dan Imaduddin Zanki dengan menyatukan perjuangan umat Islam di Mesir, Syam, al-Jazirah, Hijjaz serta Yaman. Apa yang lebih membanggakan umat Islam ialah beliau seorang yang mendukung perjuangan fi sabilillah untuk membebaskan Tanah Suci Baitul Maqdis.

Sebagai langkah membebaskan Islamicjerusalem daripada tangan pihak Salib, Salahuddin telah mewarisi sejumlah besar angkatan perang, selain memiliki angkatan perang Mesir sendiri serta angkatan perang oleh Sultan Morocco. Beliau bersama gabungan militernya telah menakluk Benteng Karak terlebih dahulu pada tahun 578 H/ 1182 M. Baginya sejak mendirikan Daulah Ayubiyah, Salahuddin telah bertekad menjamin keamanan laluan perdagangan serta keselamatan kapal-kapal milik nelayan Muslim di kawasan Laut Merah. Lebih lebih lagi ia berkait rapat dengan keselamatan perjalanan para jemaah haji.

Justeru, secara analisisnya dapatlah dikatakan bahawa berdirinya daerah penaklukan Salib di Karak bererti memerlukan usaha yang lebih keras, di samping lebih bijak dalam menjalankan rentak politiknya. Apa yang dapat difahami, ternyata Salahuddin begitu menitikberatkan kemaslahatan umat Islam di mana beliau tidak pernah ragu untuk berkonfrontrasi dengan semua pihak yang cuba mengganggu keamanan di laut tersebut. Bahkan tidak sesekali gentar menghancurkan armada Salib yang melakukan pencerobohan.



Perang Hittin
Ketokohan Salahuddin al-Ayubi dalam memerangi Perang Salib begitu terserlah ketika berlakunya Perang Hittin (583 H/ 1187 M). Pertempuran ini berlangsung pada hari Sabtu, 14 Rabiulakhir 583H. Namun, realitinya pertempuran ini telah dimulai pada hari Jumaat sebelumnya, lantaran kebiasaan Salahuddin memulakan peperangan itu pada hari Jumaat sempena mengambil berkah doa dari orang-orang Muslim dan juga para khatib solat Jumaat.

Salahuddin mengambil kesempatan menyerang Tiberias kemudiannya di saat pasukan Salib menyangkakan bahawa beliau serta pasukannya masih lagi berada di daerah Shafuriya iaitu di Akko. Kondisi tersebut menyebabkan Salahuddin berhasil mengambil kembali Tiberias daripada terus menjadi milik pasukan Salib.

Kesannya, pasukan Salib berasa cemas lalu mengerahkan pasukan tentera ke kawasan tersebut. Pada hari Khamis 22 Rabiulakhir, mereka tidak bertempur. Berkemungkinan besar, tujuannya adalah untuk menyimpan tenaga, selain memperkemaskan angkatan tentera masing-masing bagi pertempuran yang sengit pada keesokan harinya.

Semangat jihad yang tinggi dalam kalangan umat Islam hampir meletakkan pasukan Salib dalam kondisi kekalahan. Ramai dalam kalangan mereka yang melarikan diri ke Tyre (Shour). Menyedari tindakan pasukan Salib tersebut, pasukan Muslim mengejari mereka dan terus menggempurnya sehingga pasukan Salib nyaris tidak tersisa. Hanya sedikit sahaja daripada parajurit yang berlindung di Hittin. Namun begitu, pasukan Salib pada akhirnya terpaksa menyerah diri dan mengaku kalah kepada pasukan Muslim setelah barisan pertahan mereka hancur. Bahkan Raja Guy de Lusignan sendiri berjaya ditawan Salahuddin, selain daripada panglima Baron.

Misi Salahuddin seterusnya sebelum menuju ke Baitul-Maqdis ialah membebaskan daerah Tebnine di mana beliau berhasil merampasnya kembali daripada pasukan Salib pada 18 Jamadilawal, pada hari Ahad, merujuk kepada tahun yang sama. Kemudian, daerah Shaida pula yang jatuh ke tangan Muslim pada hari Selasa, 20 Jamadilawal manakala Kota Beirut pula pada hari Khamis, 29 Jamadilawal.

Asqelon pula turut jatuh pada tahun yang sama iaitu 583 H setelah hampir 35 tahun kota ini dikuasai oleh pasukan Salib. Salahuddin bersama pasukannya mengambil keputusan menetap di Asqelon di mana di Asqelon inilah beliau menerima penyerahan Kota Gaza, Bait Jibril serta Nazhrun tanpa berlaku sebarang pertempuran.

Sami bin Abdullah al-Maghluts di dalam bukunya “Atlas Perang Salib” turut mengemukakan pendapat daripada al-Maqrizi di mana Salahuddin telah bergerak bersama pasukannya untuk membebaskan Baitul-Maqdis dan tiba di lokasi tersebut pada hari Ahad, 15 Rejab 583 H.

Menerusi misi pembebasan Baitul-Maqdis daripada penjajahan Salib, ramai daripada tentera Muslim yang gugur syahid. Namun, sudah ditakdirkan Allah s.w.t bahawa kemenangan itu akhirnya akan menjadi milik pihak Muslim setelah pihak Muslim berhasil meruntuhkan salah sebuah dinding pertahanan  Baitul-Maqdis. Melihat kepada kondisi tesebut, pemimpin Salib cuba berkompromi dengan meminta jaminan keamanan dari pihak Islam.

Justeru, Salahuddin telah menetapkan syarat di mana setiap daripada kaum lelaki dikehendaki menebus diri mereka dengan 10 dinar Mesir, kaum perempuan pula terdiri daripada 5 dinar Mesir, manakala kanakkanak lelaki dan perempuan pula ialah 2 dinar Mesir dan keseluruhan fakir miskin pula berjumlah 30,000 dinar Mesir. Sejarah merekodkan bahawa sebanyak 300,000 dinar Mesir diperolehi pihak Islam hasil daripada wang tebusan tersebut.

Menjadi suatu perkara yang menggembirakan pasukan Muslim serta umat Islam seluruhnya apabila pasukan Muslim menerima penyerahan al-Quds atau Islamicjerusalem pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Seramai 60,000 orang Frank telah diusir dari kota ini, manakala 16,000 lagi masih tertawan kerana ada di antara mereka yang tidak mampu membayar wang tebusan diri.

Justifikasinya, berita kemenangan ini telah mengundang ramai daripada umat Islam dari seluruh pelusuk negeri ke Islamicjerusalem untuk menziarahi tanah suci ini. Masjid al-Aqsa yang dahulunya pernah dijadikan kandang babi oleh pihak Salib telah dibersihkan di mana Shakhrah dicuci dengan air mawar manakala lantainya pula dilengkapi permaidani yang indah. Salahuddin bertindak membersihkan seluruh Masjid al-Aqsa daripada sebarang unsur Kristian dan pada 4 Syaaban 583H, tercacat dalam lembaran sejarah di mana solat Jumaat yang pertama telah dilakukan umat Islam di tempat tersebut setelah sekian lama berada di tangan pasukan Salib.

No comments:

Post a Comment